Thursday, 28 November 2013

TRAGEDI HANDBEG DICURI

Pada 22 November 2013 yang lalu, saya telah berhadapan dengan satu tragedi di mana handbeg saya telah dicuri semasa saya sedang solat di surau KTM Ipoh. Tragedi yang membuatkan saya berasa trauma. Lebih kurang jam 3.15 petang saya menaiki ETS dari KTM Tanjung Malim ke KTM Ipoh. Tibanya saya di sana pada jam 4.20 petang, saya terus ke tandas dan kemudian ke surau untuk solat Asar.

            Semasa saya masuk ke surau tersebut terdapat seorang mak cik yang sedang solat dan pada waktu yang sama terdapat seorang lagi mak cik dan anak perempuannya masuk. Sementara menunggu mak cik tersebut habis solat saya mengambil wuduk dan saya membiarkan mak cik yang datang bersama anaknya itu solat terlebih dahulu kerana ruang surau itu agak sempit. Setelah mak cik yang bersama anaknya itu selesai solat, saya pula solat dan beg-beg yang saya bawa saya letakkan di belakang saya, semua beg tersebut berada betul-betul di belakang saya kerana surau itu tidak besar.

            Ketika saya sedang solat mak cik dan anaknya itu keluar dan hanya saya seorang yang berada di dalam surau itu. Tidak lama kemudian, ketika sedang solat, saya terdengar seperti ada orang masuk dan bunyi sesuatu kemudian pintu ditutup. Solat saya terganggu dan saya berasa tidak sedap hati namun saya meneruskan juga solat tersebut sehingga selesai.Selepas memberi salam, saya terus menoleh ke belakang dan saya mendapati handbeg saya tidak berada di situ dan beg galas yang menindih handbeg itu juga sudah jatuh sepenuhnya sedangkan pada awalnya saya condongkan beg galas tersebut agar menindih handbeg itu.

            Dengan keadaan cemas saya terus berlari keluar dengan memakai telekung dan pergi ke gerai menjual waffer. Saya tidak dapat berfikir dengan betul, saya terus menangis dan bertanya jika mereka yang berada di situ ternampak orang yang mengambil handbeg saya berwarna pink. Kemudian saya masuk semula ke dalam surau tersebut untuk menukar tudung dan mengambil beg-beg yang masih berada di dalam surau itu dan cuba mendapatkan pertolongan. Kebetulan seorang pemandu teksi hendak pergi solat, disebabkan melihat keadaan saya yang menangis dan berlari terus dia bertanya kepada saya dan saya memberitahu bahawa handbeg saya telah dicuri. Kemudian pemandu teksi itu cuba mencari di laluan bawah tanah yang berdekatan dengan surau tersebut tetapi tidak menjumpai apa-apa dan dia memberitahu kemungkinan pencuri itu sudah lari jauh. 

                Pada masa yang sama ada pasangan suami isteri yang cuba mendekati untuk mengetahui apa yang telah berlaku sehingga membuatkan saya menangis dan terduduk di atas lantai itu.Pada mulanya saya mengesyaki mak cik yang bersama anak itu mengambilnya tetapi ketika saya menangis dan terduduk di atas lantai itu mereka berdua menghampiri saya dan memberitahu bahawa mereka ada berselisih dengan seorang perempuan berbaju pink ketika mereka keluar daripada surau itu tetapi mereka tidak nampak orang tersebut pergi ke mana. Pemandu teksi tersebut mengajak saya untuk memberitahu kepada polis bantuan yang berada di situ. Kemudian saya di bawa ke bilik yang terdapat rakaman CCTV dan polis bantuan wanita di situ telah mengambil sedikit butiran.

Walau bagaimanapun nasib tidak menyebelahi saya kerana CCTV tersebut hanya dipasang dibeberapa sudut dan kawasan surau itu tidak dilengkapi dengan CCTV. Oleh itu, pencuri tersebut tidak dapat dikesan tambahan pula CCTV itu tidak berapa jelas. Saya berasa sangat sedih, kecewa dan buntu ketika itu. Polis bantuan itu mengambil sedikit maklumat daripada saya dan meminta saya mengingati nombor telefon mak, abah atau kawan-kawan tetapi saya tidak dapat mengingatinya. Setelah beberapa minit beada di situ saya seperti ingat-ingat lupa nombor telefon mak dan saya meminta polis bantuan tersebut untuk cuba menghubungi nombor tersebut. Setelah mendapatkan kepastian bahawa itu adalah mak saya, polis wanita itu memberikan telefon itu kepada saya untuk saya bercakap dengan mak.

Saya memberitahu kepada mak apa yang telah terjadi dan meminta mak untuk menghubungi kawan supaya dia dapat mengambil dan  membawa saya membuat laporan polis. Terdapat pekerja KTM yang menawarkan untuk menghantar saya pulang ke rumah tetapi saya menolok dan lebih selesa untuk terus menunggu sehingga kawan saya datang. Saya memberitahu kepada mereka bahawa saya mahu menunggu di luar untuk memudahkan kawan mencari, memandangkan telefon, duit dan segala dokumen penting telah dicuri. Setelah keluar daripada bilik CCTV itu, pasangan suami isteri yang telah saya temui pada awalnya itu telah memanggil saya dan bertanya keadaan serta menghulurkan duit sebagai tanda sedekah. Pada mulanya saya menolak tetapi mereka berdua meminta saya untuk mengambilnya.

Sewaktu saya tunggu di luar KTM, saya masih menangis dah ramai orang yang melihat saya, saya sudah tidak fikir perasaan malu menangis di hadapan khalayak ramai kerana dalam fikiran saya hanya memikirkan tentang handbeg yang dicuri itu sahaja. Ketika itu juga, saya telah diberi sedekah sekali lagi walaupun pada mulanya menolak tetapi apabila sudah diminta berkali-kali maka saya mengambilnya juga. Ada seorang perempuan berbangsa cina pula  menasihati saya agar duduk di dalam kawasan KTM dan sekiranya ada mana-mana orang mengajak saya untuk pergi membuat laporan polis jangan sesekali ikut kerana bimbang perkara yang tidak diingini berlaku. Setelah kawan saya sampai, kami terus membuat laporan polis di balai polis yang berhampiran.

Sebagai satu peringatan buat diri saya dan kawan-kawan yang lain, berhati-hati walau di mana sahaja kita berada dan jangan mudah percaya kepada orang lain. Sesama perempuan sekalipun kita masih perlu berjaga-jaga, kadang kala perkara yang tidak pernah kita jangka akan berlaku. Persediaan dari segi mental sangat diperlukan untuk kita berhadapan dengan pelbagai situasi. Saya juga amat berharapa agar pemasangan CCTV harus dilaksanakan dan memastikan tempat-tempat yang agak terselindung dilengkapi dengan CCTV ini. Mungkin tragedi ini sebagai satu peringatan pada diri saya agar tidak cuai lagi dan ini juga merupakan satu ujian daripa Allah s.w.t kepada diri saya.