Pada
22 November 2013 yang lalu, saya telah berhadapan dengan satu tragedi di mana handbeg saya telah dicuri semasa saya sedang
solat di surau KTM Ipoh. Tragedi yang membuatkan saya berasa trauma. Lebih
kurang jam 3.15 petang saya menaiki ETS
dari KTM Tanjung Malim ke KTM Ipoh. Tibanya saya di sana pada jam 4.20 petang,
saya terus ke tandas dan kemudian ke surau untuk solat Asar.
Semasa saya masuk ke surau tersebut
terdapat seorang mak cik yang sedang solat dan pada waktu yang sama terdapat
seorang lagi mak cik dan anak perempuannya masuk. Sementara menunggu mak cik
tersebut habis solat saya mengambil wuduk dan saya membiarkan mak cik yang
datang bersama anaknya itu solat terlebih dahulu kerana ruang surau itu agak
sempit. Setelah mak cik yang bersama anaknya itu selesai solat, saya pula solat
dan beg-beg yang saya bawa saya letakkan di belakang saya, semua beg tersebut
berada betul-betul di belakang saya kerana surau itu tidak besar.
Ketika saya sedang solat mak cik dan
anaknya itu keluar dan hanya saya seorang yang berada di dalam surau itu. Tidak
lama kemudian, ketika sedang solat, saya terdengar seperti ada orang masuk dan
bunyi sesuatu kemudian pintu ditutup. Solat saya terganggu dan saya berasa
tidak sedap hati namun saya meneruskan juga solat tersebut sehingga
selesai.Selepas memberi salam, saya terus menoleh ke belakang dan saya
mendapati handbeg saya tidak berada
di situ dan beg galas yang menindih handbeg itu juga sudah jatuh sepenuhnya
sedangkan pada awalnya saya condongkan beg galas tersebut agar menindih handbeg itu.
Dengan keadaan cemas saya terus
berlari keluar dengan memakai telekung dan pergi ke gerai menjual waffer. Saya
tidak dapat berfikir dengan betul, saya terus menangis dan bertanya jika mereka
yang berada di situ ternampak orang yang mengambil handbeg saya berwarna pink. Kemudian saya masuk semula ke dalam surau
tersebut untuk menukar tudung dan mengambil beg-beg yang masih berada di dalam
surau itu dan cuba mendapatkan pertolongan. Kebetulan seorang pemandu teksi hendak
pergi solat, disebabkan melihat keadaan saya yang menangis dan berlari terus
dia bertanya kepada saya dan saya memberitahu bahawa handbeg saya telah dicuri. Kemudian pemandu teksi itu cuba mencari
di laluan bawah tanah yang berdekatan dengan surau tersebut tetapi tidak
menjumpai apa-apa dan dia memberitahu kemungkinan pencuri itu sudah lari jauh.
Pada masa yang sama ada pasangan suami isteri yang cuba mendekati untuk
mengetahui apa yang telah berlaku sehingga membuatkan saya menangis dan
terduduk di atas lantai itu.Pada mulanya saya mengesyaki mak cik yang bersama
anak itu mengambilnya tetapi ketika saya menangis dan terduduk di atas lantai
itu mereka berdua menghampiri saya dan memberitahu bahawa mereka ada berselisih
dengan seorang perempuan berbaju pink ketika mereka keluar daripada surau itu tetapi
mereka tidak nampak orang tersebut pergi ke mana. Pemandu teksi tersebut
mengajak saya untuk memberitahu kepada polis bantuan yang berada di situ.
Kemudian saya di bawa ke bilik yang terdapat rakaman CCTV dan polis bantuan wanita di situ telah mengambil sedikit
butiran.
Walau bagaimanapun nasib tidak menyebelahi saya
kerana CCTV tersebut hanya dipasang
dibeberapa sudut dan kawasan surau itu tidak dilengkapi dengan CCTV. Oleh itu, pencuri tersebut tidak
dapat dikesan tambahan pula CCTV itu
tidak berapa jelas. Saya berasa sangat sedih, kecewa dan buntu ketika itu.
Polis bantuan itu mengambil sedikit maklumat daripada saya dan meminta saya
mengingati nombor telefon mak, abah atau kawan-kawan tetapi saya tidak dapat
mengingatinya. Setelah beberapa minit beada di situ saya seperti ingat-ingat
lupa nombor telefon mak dan saya meminta polis bantuan tersebut untuk cuba menghubungi
nombor tersebut. Setelah mendapatkan kepastian bahawa itu adalah mak saya,
polis wanita itu memberikan telefon itu kepada saya untuk saya bercakap dengan
mak.
Saya memberitahu kepada mak apa yang telah terjadi
dan meminta mak untuk menghubungi kawan supaya dia dapat mengambil dan membawa saya membuat laporan polis. Terdapat
pekerja KTM yang menawarkan untuk menghantar saya pulang ke rumah tetapi saya
menolok dan lebih selesa untuk terus menunggu sehingga kawan saya datang. Saya memberitahu
kepada mereka bahawa saya mahu menunggu di luar untuk memudahkan kawan mencari,
memandangkan telefon, duit dan segala dokumen penting telah dicuri. Setelah
keluar daripada bilik CCTV itu,
pasangan suami isteri yang telah saya temui pada awalnya itu telah memanggil
saya dan bertanya keadaan serta menghulurkan duit sebagai tanda sedekah. Pada
mulanya saya menolak tetapi mereka berdua meminta saya untuk mengambilnya.
Sewaktu saya tunggu di luar KTM, saya masih menangis
dah ramai orang yang melihat saya, saya sudah tidak fikir perasaan malu
menangis di hadapan khalayak ramai kerana dalam fikiran saya hanya memikirkan
tentang handbeg yang dicuri itu
sahaja. Ketika itu juga, saya telah diberi sedekah sekali lagi walaupun pada
mulanya menolak tetapi apabila sudah diminta berkali-kali maka saya
mengambilnya juga. Ada seorang perempuan berbangsa cina pula menasihati saya agar duduk di dalam kawasan
KTM dan sekiranya ada mana-mana orang mengajak saya untuk pergi membuat laporan
polis jangan sesekali ikut kerana bimbang perkara yang tidak diingini berlaku. Setelah
kawan saya sampai, kami terus membuat laporan polis di balai polis yang
berhampiran.
Sebagai satu peringatan buat diri saya dan
kawan-kawan yang lain, berhati-hati walau di mana sahaja kita berada dan jangan
mudah percaya kepada orang lain. Sesama perempuan sekalipun kita masih perlu
berjaga-jaga, kadang kala perkara yang tidak pernah kita jangka akan berlaku.
Persediaan dari segi mental sangat diperlukan untuk kita berhadapan dengan
pelbagai situasi. Saya juga amat berharapa agar pemasangan CCTV harus dilaksanakan dan memastikan tempat-tempat yang agak terselindung
dilengkapi dengan CCTV ini. Mungkin tragedi
ini sebagai satu peringatan pada diri saya agar tidak cuai lagi dan ini juga
merupakan satu ujian daripa Allah s.w.t kepada diri saya.
No comments:
Post a Comment